Mujahidah_Islamiah

Thursday, August 25, 2005 at 2:07 AM

Golongan ahli syurga

Dijamin Masuk Syurga...iriwayatkan dalam sebuah hadis bahawa terdapat tujuh golongan manusia yang dijamin masuk syurga dan akan dilindungi Allah di saat tidak ada lagi pelindung selain Dia, iaitu:
a. Pemimpin yang adil.
b. Seorang pemuda yang hidupnya selalu beribadah kepada Allah.
c. Laki-laki yang hatinya terikat dengan masjid.
d. Dua orang yang saling menyayangi kerana Allah. Bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah
. e. Seorang laki-laki yang apabila dirayu oleh wanita cantik, berkedudukan dan kaya, ia berkata: “Tidak ... saya takut kepada Allah.”
f. Laki-laki yang bersedekah dengan rahsia, sehingga tangan kirinya tidak mengetahui yang dikeluarkan oleh tangan kanannya. g. Laki-laki yang berzikir kepada Allah secara sembunyi, air matanya berlinang kerana takut kepada Allah.

Tuesday, August 02, 2005 at 11:16 PM

Hayatilah


Friday, July 15, 2005 at 2:20 AM

Nilai tudung wanita....

Di sini ana ingin menyentuh tentang pemakaian tudung kaum wanita masa kini sebagai renungan bagi wanita Islam. Bila wanita menjaga auratnya dari pandangan lelaki bukan mahram, bukan sahaja dia menjaga maruah dirinya, malah maruah wanita mukmin keseluruhannya. Harga diri wanita terlalu mahal. Ini kerana syariat telah menetapkan supaya wanita berpakaian longgar dengan warna yang tidak menarik serta menutup seluruh badannya dari kepala hingga ke kaki.

Kalau dibuat perbandingan dari segi harta dunia seperti intan dan berlian, ianya dibungkus dengan rapi dan disimpan pula di dalam peti besi yang berkunci. Begitu juga diumpamakan dengan wanita, Kerana wanita yang bermaruah tidak akan mempamerkan tubuh badan di khalayak umum. Mereka masih boleh tampil di hadapan masyarakat bersesuaian dengan garisan syarak. Wanita tidak sepatutnya mengorbankan maruah dan dirinya semata-mata untuk mengejar pangkat, darjat, nama, harta dan kemewahan dunia.

Menyentuh berkenaan pakaian wanita, alhamdulillah sekarang telah ramai wanita yang menjaga auratnya, sekurang-kurangnya dengan memakai tudung. Dapat kita saksikan di sana sini wanita mula memakai tudung. Pemakaian tudung penutup aurat sudah melanda dari peringkat bawahan hingga kepada peringkat atasan. Samada dari golongan pelajar-pelajar sekolah hinggalah kepada pekerja-pekerja pejabat-pejabat.

Walaupun pelbagai gaya tudung diperaga dan dipakai, namun pemakaiannya masih tidak lengkap dan sempurna. Masih lagi menampakkan batang leher, dada dan sebagainya. Ada yang memakai tudung, tetapi pada masa yang sama memakai kain belah bawah atau berseluar ketat dan sebagainya. Pelbagai warna dan pelbagai fesyen tudung turut direka untuk wanita-wanita Islam kini.

Ada rekaan tudung yang dipakai dengan songkok di dalamnya, dihias pula dengan kerongsang (broach) yang menarik. Labuci warna-warni dijahit pula di atasnya. Dan berbagai-bagai gaya lagi yang dipaparkan dalam majalah dan suratkhabar fesyen untuk tudung. Rekaan itu kesemuanya bukan bertujuan untuk mengelakkan fitnah, sebaliknya menambahkan fitnah ke atas wanita.

Walhal sepatutnya pakaian bagi seorang wanita mukmin itu adalah bukan sahaja menutup auratnya, malah sekaligus menutup maruahnya sebagai seorang wanita. Iaitu pakaian dan tudung yang tidak menampakkan bentuk tubuh badan wanita, dan tidak berhias-hias yang mana akan menjadikan daya tarikan kepada lelaki bukan muhramnya. Sekaligus pakaian boleh melindungi wanita dari menjadi bahan gangguan lelaki yang tidak bertanggungjawab.

Bilamana wanita bertudung tetapi masih berhias-hias, maka terjadilah pakaian wanita Islam sekarang walaupun bertudung, tetapi semakin membesarkan riak dan bangga dalam diri. Sombong makin bertambah. Jalan mendabik dada. Terasa tudung kitalah yang paling cantik, up-to-date, sofistikated, bergaya, ada kelas dan sebagainya. Bertudung, tapi masih ingin bergaya.

Kesimpulannya, tudung yang kita pakai tidak membuahkan rasa kehambaan. Kita tidak merasakan diri ini hina, banyak berdosa dengan Tuhan mahupun dengan manusia. Kita tidak terasa bahawa menegakkan syariat dengan bertudung ini hanya satu amalan yang kecil yang mampu kita laksanakan. Kenapa hati mesti berbunga dan berbangga bila boleh memakai tudung?

Ada orang bertudung tetapi lalai atau tidak bersembahyang. Ada orang yang bertudung tapi masih lagi berkepit dan keluar dengan teman lelaki . Ada orang bertudung yang masih terlibat dengan pergaulan bebas. Ada orang bertudung yang masih menyentuh tangan-tangan lelaki yang bukan muhramnya. Dan bermacam-macam lagi maksiat yang dibuat oleh orang-orang bertudung termasuk kes-kes besar seperti zina, khalwat dan sebagainya.

Jadi, nilai tudung sudah dicemari oleh orang-orang yang sebegini. Orang Islam lain yang ingin ikut jejak orang-orang bertudung pun tersekat melihat sikap orang-orang yang mencemari hukum Islam. Mereka rasakan bertudung atau menutup aurat sama sahaja dengan tidak bertudung. Lebih baik tidak bertudung. Mereka rasa lebih bebas lagi.

Orang-orang bukan Islam pula tawar hati untuk masuk Islam kerana sikap umat Islam yang tidak menjaga kemuliaan hukum-hakam Islam. Walaupun bertudung, perangai mereka sama sahaja dengan orang-orang bukan Islam. mereka tidak nampak perbezaan agama Islam dengan agama mereka.

Lihatlah betapa besarnya peranan tudung untuk dakwah orang lain. Selama ini kita tidak sedar diri kitalah agen bagi Islam. Kita sebenarnya pendakwah Islam. Dakwah kita bukan seperti pendakwah lain tapi hanya melalui pakaian.

Kalau kita menutup aurat, tetapi tidak terus memperbaiki diri zahir dan batin dari masa ke semasa, kitalah punca gagalnya mesej Islam untuk disampaikan. Jangan lihat orang lain. Islam itu bermula dari diri kita sendiri.

Ini tidak bermakna kalau akhlak belum boleh jadi baik tidak boleh pakai tudung. Aurat, wajib ditutup tapi dalam masa yang sama, perbaikilah kesilapan diri dari masa ke semasa. Tudung di luar tudung di dalam (hati). Buang perangai suka mengumpat, berdengki, berbangga, ego, riak dan lain-lain penyakit hati.

Walau apapun, kewajipan bertudung tidak terlepas dari tanggungjawab setiap wanita Muslim. Samada baik atau tidak akhlak mereka, itu adalah antara mereka dengan Allah. Amat tidak wajar jika kita mengatakan si polanah itu walaupun bertudung, namun tetap berbuat kemungkaran. Berbuat kemungkaran adalah satu dosa, manakala tidak menutup aurat dengan menutup aurat adalah satu dosa lain.

Kalau sudah mula menutup aurat, elak-elaklah diri dari suka bertengkar. Hiasi diri dengan sifat tolak ansur. Sentiasa bermanis muka. Elakkan pergaulan bebas lelaki perempuan. Jangan lagi berjalan ke hulu ke hilir dengan teman lelaki. Serahkan pada Allah tentang jodoh. Memang Allah sudah tetapkan jodoh masing-masing. Yakinlah pada ketentuan qada' dan qadar dari Allah.

Apabila sudah menutup aurat, cuba kita tingkatkan amalan lain. Cuba jangan tinggal sembahyang lagi terutama dalam waktu bekerja. Cuba didik diri menjadi orang yang lemah-lembut. Buang sifat kasar dan sifat suka bercakap dengan suara meninggi. Buang sikap suka mengumpat, suka mengeji dan mengata hal orang lain. jaga tertib sebagai seorang wanita. Jaga diri dan maruah sebagai wanita Islam. Barulah nampak Islam itu indah dan cantik kerana indah dan cantiknya akhlak yang menghiasi peribadi wanita muslimah.

Barulah orang terpikat untuk mengamalkan Islam. Dengan ini, orang bukan Islam akan mula hormat dan mengakui "Islam is really beautiful." Semuanya bila individu Islam itu sudah cantik peribadinya. Oleh itu wahai wanita-wanita Islam sekalian, anda mesti mengorak langkah sekarang sebagai agen pengembang agama melalui pakaian.

Wednesday, June 15, 2005 at 10:35 PM

Assalamualikum......

Buat sahabat-sahabat yang di kasihi.....

g.luck for finak xm....semoga perjuangan ini diberkati....maa'taufik wan najah...


-mujahidahislamiah-

Wednesday, June 08, 2005 at 1:16 PM

Senandung Seorang Hamba

Langkah kakiku masih di sini
kerana nikmat kehidupan kurniaan Ilahi
sungguh aku hargai
segala kurniaan Mu ini

Namun
seringkali aku lupa diri
lantaran keseronokan mengejar cinta duniawi
walau cukup kusedari
ianya fatamorgana yang mengabui mataku ini
ajakan nafsu seolah melambai aku mndekati
godaan syaitan membisikkan keindahan hidup ini

Ah....
mampukah diriku menjauhinya
tanpa petunjuk dariMu Yang Esa
dapatkah aku mengatasinya
tanpa hidayahMu Pencipta Semesta

Oh Tuhan
kekalkanlah diriku dalam cahaya iman
teguhkanlah diriku dalam panduan al-Quran
bantulah daku dalam menjadikanRasul sebagai ikutan
kerana apa yang kuharapkan
hanyalah kebahagiaan dan ketenangan
melayari hidup dengan panduanMu Tuhan

onak ranjau berduri
bagaikan merentangi perjalanan
andai tiada sebuah ketabahan
andai terlucut mahkota keimanan
pastinya diri dirundung seribu kekesalan
kerana tidak dapat menatapMu Tuhan
di hari kebangkitan yang penuh kenikmatan
bagi mereka yang berjaya melawan godaan

at 1:11 PM

Bangkitlah Para Pejuang

Perjuangan ini...
menagih sebuah pengorbanan
harta dan nyawa menjadi gantian
menguji sebuah kesetiaan
kepada amanah yang diberikan

Perjuangan ini...
ditemani tangisan kegembiraan
jua kekecewaan

Namun...
bagi mereka yang mengharapkan redha tuhan
akan sentiasa dalam kemenangan
kerana kejayaan pasti di tangan
di dunia dan di hari kemudian
usah kecewa pada sebuah kekalahan
kerana ia bukan bererti akhirnya perjuangan
kerana ia mungkin ujian
menguji keimanan
rasul jua pernah dikalahkan
apatah kita yang penuh kelemahan

Bangunlah kembali...
wahai para pejuang...
jadikan kekalahan sebagai medan
muhasabah diri dan kelemahan
untuk bertempur di masa akan datang
agar beroleh sebuah kemenangan
untuk memartabatkan agama tuhan
agar gah di seluruh pelosok alam

at 1:08 PM

Nilai Perjuangan

Teman
perjalanan kita masih tiada noktahnya
terlalu banyak duri dan pancaroba
yang merentangi laluan kita
kekadang jiwa disapa derita dan kecewa
lidah kelu untuk bersuara
hanya tangisan teman setia

Namun
pengalaman ini yang mendewasakan kita
mengajar kita erti tabah dan redha
meningkatkan iman di dada
melahirkan keinsafan diminda
kita adalah hambanya
ujian yang datang adalah darinya
tentu ada hikmah di sebalik segalanya
jadikan ia pengajaran berguna
sebagai guru memandu kita
kerana hujan pasti akan reda
mentari pasti memancar sinarnya

Teman
teruskanlah usaha dengan azam membara
tanamkan tekad di dalam dada
di sampingdoa kudus untuknya
moga diberkati usaha kita
kerana allah itu maha kaya
maha mendengar rintihan hambanya
kejayaan tidak hadir sekelip mata
datangnyaia bersama titisan keringat dan air mata

Namun
kejayaan paling berharga
adalah berjaya didunia
jua bahagia di akhirat sana

at 12:46 PM

Bicara Hati Seorang Perempuan

Puji-pujian buat-Mu Tuhan...
Lantaran telah menjadikan aku seorang perempuan
Diciptakan dari tulang rusuk kiri Adam
Dengan seindah kejadian.

Akulah Si Tulang yang bengkok
Yang Kau gubah dengan kekuatan perasaan
Mengatasi panjangnya akal fikiran
Sebagai fitrah dan anugerah kejadian

Namun biarlah kejadianku memberi guna
Bengkok yang ada manfaatnya...
Kiranya aku menjadi seorang isteri
Kurniakanlah aku kekuatan yang membolehkan

Aku...
Menjadi tulang belakang seorang suami
Pengembang pejuang di sayap kiri
Diadun dengan kelembutan yang melayakkan aku
Menjadi teman setia
penyejuk mata
pembina semangat waja
penguat jiwa...

Aku pinta
Seanggun peribadi Siti Khadijah
Yang menjadi sumber ketenangan Muhammad jua
Bebas jiwa dari belenggu perasaan
Keperempuanan yang memiliki nafsu sembilan...

Moga diriku...
Setulus Siti Fatimah
Dimana...
Yang sentiasa ditinggalkan suaminya
Dihantar pemergian tanpa bertanya...
"Bila akan pulangnya...?"

Jadikan diriku...
Disambut kepulangan dengan khidmat...bersulam kemesraan.
Rumahtangga adalah syurga,tempat suburnya
Cinta ketuhanan akal yang tunggal...
tidak akan dibiar hanya bergelar
dicelahan periuk belanga...
Dibalik lipatan lampin anak
Mengjangkau kebangkitan Islam di alam sejagat
Menjadi pentadbir disebalik tabir.

Namun...
"siapalah aku untuk memiliki watak itu...."
dek berkaratnya mazmumah yang bersarang di jiwa
Maka kurniakanlah aku akan semangatnya..
Sememangnya aku mengimpikan
Watak seorang ibu yang bakal melahirkan
Putera-putera secekal Mus'ab bin Umair
Yang menggadai dunia demi kasih Tuhannya
Segigih Zubair Ibnul Awwaam yang diangkat oleh Rasul sebagai hawarijnya
Hasil didikan Ibunya...
Setelah melalui zaman anak-anak yang yatim dah kekurangan...

Memiliki puteri setabah dan seteguh Masyitah...
Rela direbus demi mempertahankan...
Iman atau suci Maryam yang seluruh hidupnya
mengabdikan diri kepada Tuhan.

Meskipun aku bukan ibunya yang memiliki
peribadi semurni Siti Fatimah
Ibu Syeikh Abdul Kadir Jailani...
Yang tiap titis darah mampu berzikir ke hadrat Illahi
Mudah-mudahan zuriatku bakal menampilkan
Mujahid-mujahid yang rindu memburu syahid.
Srikandi-srikandi yang memakmurkan muka
bumi Allah dengan kesolehan...
Yang saling rela berkorban dan dikorbankan
Buat menyemarakkan Islam di akhir zaman
Sepertimana Kisah Seorang Ibu yang telah
kematian putera-puteranya di medan jihad.
"Mereka telah berbahagia sebagaimana aku bahagia..
Aduhai, kiranya aku punya seorang anak lagi,
aku rela dia turut gugur di jalan Allah..."

Namun jika aku....
Kau Takdirkan akan kehilangan mereka...
Tetapkanlah hatiku setenang Ummu faisal...
Yang tidak menjadikan kematian suami dan anak-anaknya
Halangan untuk membulatkan kecintaan buatMu
Tuhan redhailah daku yang dhaif ini sebagai HambaMu...

Inilah pengaduan ku...
Harapan dan munajat kepadaMu
kiranya kekasihMu sendiri pernah berucap....
"Ku lihat kebanyakan dari isi neraka itu adalah perempuan"
JIkatTanpa petunjukMu...
Selangkah yang mengiring ku ke syurga..
Sederap mencebur ke neraka..

Wallahu'alam..

Marilah menyelam ke lautan tak bertepi
Mengenal Zat Yang Maha Tinggi
Renungan ini sebagai santapan rohani..
MEMBINA HIDUP DI LANDASAN ISLAMI..

at 12:42 PM

Untukmu Sahabat

Sahabat....
Biar semusim telah berlalu
terasa bagaikan semalam kita bertemu
Mengenalimu
Menerbitkan sinar keceriaan dalam hidupku
Kau sinari hatiku
Dengan gelak tawamu
Kau penawar segala dukaku
Nasihatmu
Penguat semangatku
Ketaqwaanmu
Menerbitkan keinsafan di jiwaku

Sahabat....
Andai detik waktu memisahkan kita
Sematkanlah memori ini di jiwa
Terimalah ia dengan redha
Kerana pertemuan kita
Di atas kehendaknya
Perpisahan kita ketentuannya jua
Pohonlah pada yang esa
Moga berkekalan selamanya
Tautan hati antara kita
Walaupon jauh di mata
Namun dirimu bersemadi di jiwa
Sebagai teman yang setia

at 12:36 PM

Ampunkan Aku Tuhan

Merenung hakikat kejadian
Menjentik sekilas keinsafan
Kerana kurniaan jua kenikmatan
Yang telah engkau kurniakan

Tanpa penglihatan
Bisakah aku berjalan
Di muka bumi Tuhan
Melihat segala keindahan

Tanpa pendengaran
Bisakah kudengar laungan azan
Kemerduan alunan Al-Quran
MemujiMu Tuhan

Tanpa akal yang memandu pemikiran
Mampukah diri ini mengenalMu Tuhan
Menjalankan amanah yang Engkau berikan
Mentadbir alam dengan panduan

Tanpa kaki memandu perjalanan
Akan terbataslah segala pergerakan
Tanpa tangan yang engkau kurniakan
Mampukah aku menadah tangan
Memohon agar segala dosa diampunkan

Namun mengapa.....
terlalu sukar menyatakan kesyukuran
Mengapa terlalu payah melahirkan ketaatan
Sedangkan diri ini hanya pinjaman
Sampai masa pasti dikembalikan
Seringkali jiwa ingin memohon pengampunan

Namun...
nafsu memukau pandangan
Keseronokan dunia seakan melalaikan
Seakan terlupa hakikat kejadian
Seorang hamba yang kerdil di sisi Tuhan

Ampunkan aku...
Yang sering leka terhadap suruhanMu

Maafkan aku...
Yang jarang mengungkap syukur padaMu
Yang kupinta hanya satu
Kuingin kembali padaMu
Dengan hati sesuci salju
Dengan keimanan melitupi kalbu

at 12:24 PM

Palestin...

Palestin..
Tika kami riang gembira
Beramah mesra di samping keluarga
Nun...disana..
Kau...lihatlah..
Masih ada jiwa yang menderita
Masih ada hati yang berduka

Namun...
Rintihan dan tangisannya
Tak terluah melalui kata-taka
Tidak terungkap dengan bahasa
Kanak-kanak merintih hiba
Ibu-bapa dibunuh di depan mata
Sanak-saudara terpisah jauh di mata
Bom dan peluru perkara biasa
Dendam di jiwa penuh membara

Palestin...
Kenapa mereka menjajah negerimu
Di mana salah di mana silapnya
Sehingga damai luput di minda
Di mana ummat seagama
Yang mengaku bertuhankan dia Yang Esa
Apakah sekadar memandang cuma
Sedang mereka terus tersiksa

Namun...
Di hati mereka tetap berdoa
Moga syahid milik mereka
Agar mereka bebas dari belenggu dunia
Untuk menuju akhirat yang kekal selamanya

Palestin...
Kami tahu penderitaanmu
Namun untuk bertindak kami tidak mampu
Sabarlah wahai saudaraku
Kemenangan pasti berpihak padamu
Doa tulus kami untukmu
Moga ditabahkan hatimu
Moga dikuatkan azammu
Moga jannah akhir tempatmu
Kamikan terus bersamamu
Walau jauh beribu batu
Namun hati kita tetap satu

at 12:04 PM

Adam

Adam...
Awal ciptaan
Dari tanah engkau dijadikan
Engkaulah bapa manusia sekalian
Tika jiwa rasa kekosongan
Mengharap hadir seorang teman

Adam...
Dirimu disaluti segala keindahan
Syurga yang penuh kenikmatan
Lalu hajatmu diperkenan Tuhan
Dari tulang rusukmu ia dijadikan
Hawa diberi nama gelaran
Lengkaplah sudah sebuah kebahagiaan
Hidupmu dalam keredhaan tuhan

Namun...
Tipudaya syaitan sering melalaikan
Pohon terlarang jadi idaman
Permintaan isteri tetap ditunaikan
Walau keimanan jadi taruhan
Lantas tercampaklah kalian ke dunia
Lantaran helah syaitan durjana
Tangisan keinsafan mengalir di mata
Lalu taubatmu Allah terima

Adam
Kini keturunanmu merata-rata
Memegang amanah dari Yang Esa
Ada yang masih lurus pegangannya
Ramai juga yang tewas di dunia
Lantaran nafsu menjadi raja
Fitnah dunia kian bermaharajalela
Harta,pangkat jua wanita
Sentiasa berlegar di ruang minda
Cinta ilahi seolah dilupa
Lantaran nikmat dunia
Yang sementara cuma

Namun...
Bagi mereka
Yang masih teguh imannya
Cinta ilahi itulah yang utama
Redha ilahi itu yang dicarinya
Sunnah nabi menjadi pegngannya
Jannatunnaim jadi impiannya
Husnul khotimah itulah harapannya...

Adam...
Andai kau melihat keturunanmu
Dalam zaman serba maju
Apakah akan terkeluar dari kata-katamu?
Ahh....tak mungkin kutahu...

at 11:43 AM

Sebuah Pertemuan

Teman...
Pertemuan kita di sini
Adalah pertemuan yang ku impi
Dengan rasa syukur pada Ilahi
Moga ia berpanjangan dan diberkati

Teman...
Janganlah kau lupa memori ini
Semasa kita bersama mula mengenali
Di taman ilmu dan budi
Mengajar daku satu erti
Menempuhi liku dalam perjuangan suci
Menjadi satu kemestian dalam mencari
Hanya mengharap keredhaan dari Ilahi

Teman...
Eratkan kembali ukhuwwah kita
Moga antara kita tiada lagi dosa
Bermaaf-maafanlah jangan ada sengketa
Hidupkan sentiasa aman bahagia

Wahai sahabat yang diingati...
Dikau banyak membantu diriku ini
Pengorbananmu takkan dilupai
Doaku agar dirimu dirahmati Ilahi

Teman...
Janganlah kau lupa segala memori
Pahit dan manis yang kita tempuhi
Di taman ilmu dan budi
Akan kita kejar segala yang diimpi
Sehinggalah nyawa terpisah dari diri

at 11:34 AM

Wahai Kekasih Allah

Menyingkap tabir sejarah
Membawa diri jauh menjelajah
Mengukir kemenangan indah
Islam kini telah gah
Kerana perjuanganmu Rasulullah

Segala liku tabah kau tempuhi
Disulami akhlak yang terpuji
Walau telah berabad dikau pergi
Namun pengorbananmu terus dikenangi
Terdetik rasa kesal di hati
Wajahmu tak mampu aku tatapi
Suaramu tak dapat aku dengari
Menyebarkan risalah agama yng suci
Walau ditentang,dihina dimaki
Engkau terus tabah tempuhi
Kerana iman beraja di hati
Kerana islam sanggup kau harungi

Ya Rasulullah
Pinjamkan aku sedikit semangatmu
Hadiahkan aku seteguk keimananmu
Agar aku mampu
Meneruskan perjuanganmu
Dengan iman teguh di kalbu
Moga dapat kujadi ummatmu
Yang memperoleh syafaatmu
Di hari yang sentiasa di tunggu
Kanku megah ketika itu
Kerana diriku adalah umatmu
Yang sentiasa aku rindu
Kanku cuba amalkan sunnahmu
Kanku ingat segala pesanmu
Cintamu kepada ummatmu
Terlalu berharga bagiku
Di penghujung usiamu
Terlahir kebimbangan tentang ummatmu

Ya Rasulullah
Selawat dan salam aku laungkan
Tanda ingatan yang terus berkekalan
Dakwah sucimu kan cuba kuteruskan
Walau nyawa menjadi taruhan
Cintamu aku dambakan
Sebagai jambatan cinta tuhan
Moga kita akan ditemukan
Di hari perhitungan amalan
Sebagai ummatmu di akhir zaman
Yang berjaya menempuh rintangan
Terus berada dalam kebahagiaan jua keredhaan

Thursday, May 26, 2005 at 5:41 AM

Sebuah Kisah

Sebak! Hati ini terlalu sebak. Lutut ini terasa lumpuh untuk menanggung beban yang teramat berat. Tak mampu lagi dipikul oleh bahuku, apatah lagi di usia yang telah agak banyak ini.
Kalaulah aku tahu beginilah hatinya, sumpah aku tidak lakukan semua ini. Dia tetap berwajah tenang. Tidak kelihatan walau secalit resah di kelopak mata, di pipinya malah bibirnya. Segalanya masih sama seperti dulu.
Aku leka. Leka dengan setiap kehendak hatiku. Semua tingkah laku ku tidak pernah dipersoalkan. Cuma ketika dia menurunkan tanda tangan keizinan, aku lihat ada titisan air mata gugur di pipinya.
Itulah kali terakhir aku lihat dia menangis. Dia tidak menuntut apa-apa dariku untuk dirinya selain dari mengingati aku tentang nafkah anak-anak kami yang seramai lima orang.
Dia meninggalkan perkarangan mahkamah, setelah sedikit sesi kaunseling selesai. Aku mempelawa untuk menghantar pulang. Dalam senyuman yang kukira dibuat-buat, dia menolak dengan alasan, mulai dari hari ini dia akan belajar untuk mengurus hidupnya sendiri.
Aku tidak ambil pusing dengan perkara itu. Aku meneruskan niat ku mengahwini Normi. Dia tidak sedikit pun membentak bila aku memintanya menggosok sepasang baju Melayu, pakaian pengantinku.
Cuma di kala itu aku kehilangan senyuman manja daripadanya. Dia terus berwajah tenang dan syahdu. Sebelum aku melangkah pergi, dia masih seperti selalunya, bersalaman dan mencium tanganku sambil berpesan jaga diri baik-baik.Aku mengahwini Normi setelah setahun menjalin persahabatan. Aku sendiri kurang pasti mengapa aku tertarik dengan Normi.
Cuma yang aku sedar, aku kasihankan kepada anaknya yang sedari awal memanggil aku ayah. Mungkin juga kerana Normi cantik. Perwatakannya yang manja membuatkan ramai lelaki tergoda. Dan akulah yang paling kalah dengan kemanjaannya.
Walau apa pun alasan, antara aku dan Normi memang ditakdirkan ada jodoh, kerana itu kami berkahwin. Walau ibu dan ayahku malah saudara mara menentang hebat kemahuanku.
Apa kurangnya Nurjannah, soal mereka. Memang aku akui, tiada cacat celanya Nurjannah. Dia memiliki semuanya. cantik dan seorang perempuan yang lengkap memenuhi ciri-ciri seorang isteri, ibu dan pengasuh anak-anak yang baik. Dia juga pernah menjadi rebutan pemuda sekampung.
Di antara mereka, aku orang yang paling bertuah menjadi pilihan Nurjannah. Tuah itu aku sambut dengan penuh rasa kesyukuran. Dia melahirkan zuriatku seramai lima orang. Dia tidak pernah mengeluh keletihan melayan kerenah anak-anak walau aku kurang membantu.
Keperluanku juga dijaga sepenuhnya. Tiada apa yang dimusykilkan di hati ini terhadapnya. Segalanya cukup sempurna. Pendidikan agama untuk anak-anakku juga diberikan oleh Nurjannah. Semua anak-anakku khatam Al Quran di usia sepuluh tahun. Semua itu Nurjannah yang ajarkan. Anak-anakku tahu akan tanggungjawab mengerjakan sembahyang seawal usia enam tahun. Itu juga Nurjannah, isteriku juga yang ajarkan.
Bukan sekadar anak-anak malah aku sendiri pun diuruskan oleh Nurjannah. Ketika aku sedang mandi, pakaian kerjaku dari baju hinggalah ke stokin Nurjannah sudah aturkan. Aku cuma capai sahaja. Ketika aku berwuduk, Nurjannah telah siap membentang sejadah sembahyang.
Setiap kali aku pulang kerja, sekurang-kurangnya, segelas minuman telah tersedia di ruang rehat. Nurjannah tidak pernah menyusahkan aku walau menghantarnyake pasar. Katanya, dia boleh pergi sendiri. Selama sebelas tahun hidup bersamanya, Nurjannah faham benar seleraku.
Selama sebelas tahun itu juga seingatku tidak pernah sekalipun Nurjannah menyakiti hatiku. Menjelang hari-hari perayaan, ketika rakan-rakan sepejabatku mengeluh kerana isteri di rumah minta menukar langsir baru, Nurjannah isteriku di rumah terbongkok-bongkok mencuci langsir lama. Bila kami diberi bonus tahunan oleh majikan, rakan-rakanku resah kerana isteri masing-masing turut meminta imbuhan untuk membeli seutas dua barang kemas.
Tetapi isteriku Nurjannah tidak pernah meminta semua itu. Nurjannah menasihati aku agar menyimpan wang lebihan. Untuk kegunaan masa depan katanya. Akhirnya aku menggunakan wang simpanan tersebut untuk perkahwinanku dengan Normi, madu Nurjannah.
Setelah berkahwin dengan Normi, barulah aku merasai segala masalah seperti yang dihadapi teman-teman sepejabatku. Apa nak buat, terlajak perahu boleh diundur, terlajak perbuatan sepahit mana sekalipun, terpaksalah ditelan jua. Apatah lagi aku dan Normi telah dikurniakan seorang cahaya mata.
Sepanjang perkahwinan dengan Normi, aku memang jarang-jarang sekali pulang ke rumah Nurjannah. Kadang-kadang seminggu sekali, kadang-kadang sebulan sekali. Itupun untuk memberi wang perbelanjaan anak-anak. Nurjannah tetap dengan sifat sabarnya.
Walau aku memperlakukannya sedemikian, dia tidak pernah marah-marah apalagi mengamuk. Setiap kali kepulanganku, dia sambut tanpa secebis riak kemarahan. Bersalam danmencium tanganku. Dia tetap menyediakan makanan kegemaranku.
Cuma yang amat aku terasa, aku kehilangan senyuman mesranya. Dia pernah meminta izinku membantu abangnya yang berniaga di kedai runcit berhampiran dengan rumah kami. Aku sedar, mungkin perbelanjaan harian dariku tidak mencukupi, tetapi aku buat-buat tidak tahu.
Lagipun Nurjannah tidak pernah menyebutnya. Aku lihat tubuhnya kurus sedikit. Aku bertanya padanya apakah dia sakit atau ada apa-apa masalah. Namun dia hanya menggeleng kepala. Aku tidak pasti reaksi anak-anak terhadapku setelah aku berkahwin lain.Kelima-lima anakku dengan Nurjannah tidak pernah menunjukkan tanda-tanda membantah atau marah.
Cuma antara kami kurang mesra,mungkin kerana sudah jarang berjumpa. Alhamdulillah aku punyai anak-anak sebaik Nurjannah. Kelima-lima anakku sudah berjaya. Semuanya sudah menjejaki menaragading. Terasakan begitu cepat masa berlalu. Anak-anakku sudah menjangkau dewasa. Fahmi anakku yang sulung menjawat jawatan doktor,Fariza menjadi pensyarah, Fakhrul pu la pegawai di jabatan kerajaan, Farihin seorang guru dan Farina telah tamat dan majlis konvokesyennya akan diadakan dua hari lagi.
Aku pulang hari ini, di atas permintaan Farina agar aku dan ibunya hadir di majlis bersejarah baginya. Seingat aku telahdua bulan aku tidak menjengah Nurjannah. Namun kepulanganku tetap disambut baik oleh Nurjannah. Bersalam dan mencium tanganku seperti dulu-dulu. Dia tidak pernah menunjukkan riak kurang senang padaku.
Walhal sudah banyak perkara yang telah aku lukai hatinya, namun sukar untuknya menunjukkan rasa memberontak. Kesabarannya banyak mengajarku apa erti kesetiaan seorang suami. Aku akui bukan seorang suami yang adil. Adil dalam mencurahkan kasih sayang. Mungkin juga pengaruh isteri mudaku, namunaku tidak menyalahinya. Keterlanjuranku mengahwini memberi satu perbandingan yang nyata antara keduanya.
Namun kesalahan masih berpihak padaku seolah-olah tidak mampu untuk berlaku adil.! Hari ini Nurjannah memasak lauk kegemaranku, udang masak lemak cili padi. Selera sungguh aku makan. Suasana di meja makan sunyi sepi. Fariza yang juga makan bersama kami, aku lihat asyik menyuap nasi kemulut. Nurjannah membisu seribu bahasa dan aku sendiri bagai kehilangan cerita.
Sebenarnya jauh di sudut hati, aku terlalu lama rindukan gelakt awa Nurjannah. Entah kenapa hari ini aku kehilangan punca mencari kemesraannya. Sesudah makan malam aku duduk-duduk di ruang tamu disamping Fariza.
Nurjannah menghampiriku sambil menghulur satu sampul surat berwarna jingga. Aku masih ingat, itulah sampul surat kad undangan perkahwinanku dengan Normi. Aku bagaikan tersentak. Borang permohonan cerai. Telah lengkap diisi hampir terlepas dari tanganku.
Aku terpempan.
Terkedu.
Hilang sudah segala kekuatan yang ada.
Aku cuba menolak rasa sangsi. Adakah aku berdepan dengan realiti atau sebaliknya. Aku lihat reaksi Nurjannah, tenang dan bersahaja. Ada sesuatu yang ingin diutarakannya. Aku menunggu dengan sabar, mahu penjelasan yang wajar darinya.
"Bang,lapan belas tahun yang lalu, Jannah dengan rela hati menandatangani borang permohonan poligami, Jannah harap abang juga boleh melakukannya sekarang," pintanya dengan suara yang aku rasakan bagai belati menghiris hati.
Rasanya ingin gugur air mata lelakiku. Namun kutahan. Adakah ini balasan untuk pengorbanan yang telah kaulakukan. Kukira langkah mu tidak akan terlanjur sejauh itu. Nurjannah, barangkali beginilah deritanya hatimu dulu, ketika mahu melepas pergi orang yang dikasihi..
'Jannah tak mahu abang terus dihumban dosa kerana sememangnya abang tidak pernah berlaku adil. Selama ini pun Jannah hanya tak mahu kehidupan anak-anak kita terganggu lantaran sikap kita. Jannah rasa pengorbanan Jannah sudah sampai ke penghujungnya. Lagi punkesabaran Jannah sudah tinggal sia-sia. Jannah tidak mahu jadi isteri derhakaapabila kesabaran sudah tiada lagi. Anak-anak kita pun sudah dewasa,mereka sudah boleh hidup sendiri," Nurjannah bersuara lagi tanpa sebarang riak api kebencian kepadaku.
"Kami adik beradik telah lama kumpul wang untuk hantar ibu tunaikan fardhu haji tahun ini," sambung Fariza. Aku merenung mata Fariza dalam-dalam. Lama. Sehinggalah Fariza bersuara. "Kami bukan tak mahu hantar ayah ke Mekah, tapi kalau ayah pergi nanti, siapa nak jaga mak cik Normi, kan ayah tak pernah tinggal mak cik Normi sorang-sorang."
"Jannah, abang tak mahu kehilangan Jannah, biar abang tinggalkan Normi," pintasku cuba melerai! kekusutan yang membelit diri.
"Sejauh mana sekali pun abang tinggalkan Normi, hati Jannah tetap terluka. Tanda tangan borang tu bang," pinta Nurjannah sungguh-sungguh.
Aku rasakan itulah dentuman petir yang paling kuat pernah memanahi pendengaranku dan beban yang teramat sarat yang menghempap bahuku. Tiba-tiba aku terkenangkan sejadah yang sering dihampar oleh Nurjannah isteriku.
Dengan langkah yang longlai aku mengambil wuduk, Nurjannah hanya memerhati dari jauh. Di dalam bilik sembahyang aku mencari-cari sejadah yang terbentang. Tiada.
Aku jatuh terduduk.
Sesal dulu pendapatan.......
sesal kemudian...
ini lah jadi nye...



Saja Letak